Apakah definisi Akhlak ?
Dari segi bahasa, Akhlak adalah dari perkataan Arab - jamak bagi khuluk (خلق) - yang bermaksud budi pekerti, kelakuan atau tabiat seseorang. Menurut istilah pula, Akhlak adalah sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan.
Akhlak adalah tabiat seseorang yang berlaku secara semulajadi bukannya secara paksaan. Maknanya, akhlak adalah gambaran bagaimana keperibadian seseorang itu yang sebenarnya.
Apakah perbezaan antara Akhlak, Moral, Etika dan Adab ?
1) Akhlak - Membincangkan perbuatan baik dan buruk, berdasarkan wahyu Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW sebagai pengukur.
2) Moral - Perbuatan baik dan buruk yang menjadi kebiasaan bagi masyarakat untuk menilai dan menentukannya.
3) Etika - Ajaran baik dan buruk yang meletakkan akal sebagai pengukurnya.
4) Adab - Peraturan dalam sesuatu perilaku baik dan buruk.
Lebih mudah untuk memahami akan perbezaan keempat diatas, saya sertakan gambaran atau contoh yang lebih mudah dan jelas inshaAllah :
1) Akhlak - Perbuatan berzina adalah berdosa besar, sebagaimana yang disebut didalam wahyu Al-Quran (Al-Isra; 32). Maka perbuatan ini adalah akhlak yang buruk.
2) Moral - Meskipun perbuatan 'bercouple' adalah berdosa disisi syariat, namun ia masih tidak dikira sebagai moral yang buruk selagimana pasangan tersebut pandai menjaga kehormatan diri dan keluarga.
3) Etika - Sebagai seorang doktor, hendaklah menjaga etika antara pesakit dan doktor. Meskipun mengambil berat akan pesakit adalah tanggungjawab dan perilaku yang baik, tetapi ia boleh dikira sebagai melanggar etika jika berlebih-lebihan dan tidak mengamalkan sikap profesional.
4) Adab - Perbuatan memasuki tandas dengan kaki kanan bukanlah suatu perbuatan yang mendatangkan dosa mahupun buruk, tetapi adalah sopan dan mengikut sunnah untuk memasuki tandas menggunakan kaki kiri terlebih dahulu.
Skop Akhlak
1) Akhlak terhadap Allah : Akhlak terpuji yang menghubungkan manusia dengan Allah. Contohnya : bertaqwa, ikhlas, sabar dan sebagainya.
2) Akhlak terhadap manusia : Akhlak terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Contohnya : bertimbang rasa, adil, bantu - membantu. jujur dan amanah.
3) Akhlak terhadap selain manusia : Hubungan manusia terhadap haiwan dan alam umumnya. Contohnya : tidak melakukan pencemaran alam, tidak melakukan kerosakan atau kezaliman, memelihara haiwan dan tumbuh tumbuhan daripada kepupusan.
Tanggungjawab Akhlak
Terdapat 5 tanggungjawab akhlak yang perlu diterapkan dalam diri seseorang :
1) Tanggungjawab Individu : Mengamalkan sifat-sifat baik seperti amanah, jujur dan sabar dalam diri.
2) Tanggungjawab Keluarga : Menjadi ibu/bapa/keluarga yang mengamalkan ajaran Islam didalam keluarga, mengajarkan nilai kasih sayang kepada keluarga dan mendidik keluarga menjadi insan yang baik
3) Tanggungjawab Masyarakat : Mengamalkan sifat bantu-membantu, hormat menghormati dan bertegur sapa sesama jiran dan masyarakat sekeliling.
4) Tanggungjawab Negara : Menyediakan pendidikan atau fasiliti yang diperlukan rakyat, menjadi atau memilih pemimpin yang menunjukkan akhlak yang baik untuk dicontohi oleh rakyat serta menjaga keamanan negara.
5) Tanggungjawab kepada Alam Sekitar : Memelihara dan memulihara alam sekitar serta memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang merosakkan alam sekitar seperti membuang sisa toksik ke dalam sungai.
Sumber Akhlak
Sebagaimana yang telah dijelaskan diatas tadi, Akhlak merupakan perbuatan baik buruk yang berpandukan oleh Al-Quran dan Sunnah. Maka, untuk menentukan samaada ianya akhlak yang baik atau buruk, hendaklah kita melihat kepada kedua sumber utamanya.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
[Riwayat Ahmad (8952)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh telah menilai hadith ini sebagai hadith sahih dan sanadnya kuat]
Pembentukan Akhlak
Akhlak dapat dibentuk dengan baik sekiranya kita benar-benar mengikut lunas-lunas yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Akhlak yang dibentuk berasaskan kesedaran dan hidayah dari Allah yang mampu dimiliki oleh setiap manusia yang mahu digelar hambaNya. Misalnya akhlak para sahabat iaitu Saidina Umar dan Khalid Al-Walid dimana perubahan akhlak mereka yang ketara berlaku setelah memeluk Islam. Maka, akhlak itu hadir dan membentuk mengikut kemahuan diri sendiri, bukannya secara paksaan atau lakonan.
Antara cara-cara untuk membentuk keperibadian akhlak seorang Muslim ialah ;
- Menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan.
- Mendekatkan diri dan bergaul dengan jemaah yang soleh.
- Membanyakan bacaan dan menghadiri kuliah agama untuk menambah ilmu.
- Sentiasa perbaiki niat kerana Allah Ta'ala.
- Menjauhi perkara yang boleh melemahkan iman.
- Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan beribadah.
Adapun Imam Ghazali berpendapat, terdapat 4 kaedah dalam pembentukkan akhlak yang mulia :
- Sentiasa bergaul dengan guru yang dapat melihat dan menilai segala kekurangan akhlak yang ada pada dirinya dan mematuhi nasihat yang diberikan oleh guru.
- Mencari teman yang benar-benar dapat mengawasi dan menegur perbuatan yang buruk.
- Mendengar dan memerhati segala kekurangan diri yang dilontarkan oleh pihak musuh kerana mereka lebih berterus terang mengkritik tentang keburukan diri berbanding ucapan rakan-rakan yang suka menyembunyikan keburukkan.
- Mengauli manusia dengan mengawasi sifat-sifat yang tercela dan mengambil pelajaran untuk memperbaiki diri sendiri. Sesungguhnya seorang mukmim merupakan cermin kepada mukmin yang lain.
Pengaruh Persekitaran Terhadap Akhlak
Meskipun Akhlak seseorang itu terbentuk secara fitrah, namun pastinya ia terpengaruh akan persekitaran kita juga. Hal ini kerana manusia sememangnya cenderung untuk terpengaruh dan terikut akan budaya atau tabiat yang berlaku disekitarnya. Antara pengaruh persekitaran terhadap akhlak seseorang ialah :
1) Keluarga - Keluarga merupakan faktor pengaruh utama terhadap akhlak seseorang kerana keluarga adalah golongan yang paling awal dan rapat antara yang lain. Didikan dan nilai yang diajar didalam sebuah keluarga amat mempengaruhi akhlak seseorang. Persis ungkapan peribahasa "Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya". Didikan awal oleh ibubapa adalah sangat penting dalam membentuk keperibadian akhlak anak-anak. Anak-anak yang membesar dengan kurang kasih sayang dan perhatian dari ibubapa turut memberi impak kepada akhlak mereka.
2) Rakan atau Masyarakat - Membesar dan bergaul dalam sebuah masyarakat yang kurang baik akan mempengaruhi akhlak seseorang kearah keburukan kerana ia menjadi kebiasaan dan dinormalisasikan oleh masyarakat sekelilingnya. Seseorang itu lebih terarah kepada budaya yang diamalkan masyarakat kerana ia merasakan lebih selesa dan selamat meskipun pengaruh tersebut adalah pengaruh yang buruk.
3) Media - Dinihari teknologi yang semakin canggih juga memberi impak yang besar terhadap akhlak seseorang. Apabila sering 'dihidangkan' dengan maklumat dan perkongsian yang tidak sihat, pastinya ia mempengaruhi diri seseorang kearahnya. Apatah lagi tiada kawalan daripada penjaga, maka teramat mudah bagi seseorang untuk terpengaruh dengan budaya tidak sihat yang memenuhi ruangan media seperti televisyen dan media sosial.
4) Institusi Pendidikan - Sekolah/Universiti atau mana-mana institusi pendidikan mestilah mempunyai peraturan yang mengawasi budaya persekitaran dan membendungnya daripada pengaruh yang tidak sihat. Hal ini kerana golongan pelajar adalah antara golongan yang mudah dipengaruhi dan mempengaruhi. Maka, hendaklah pihak berkuasa mengamalkan akhlak yang baik sebagai contoh kepada mereka serta menerapkan budaya yang sihat di persekitar institusi.
Kesimpulan
Bidang akhlak adalah bidang yang amat penting dalam sistem hidup manusia.Hal ini kerana akhlak bukan sekadar perilaku manusia, bahkan merupakan garis keimanan dan ketaqwaan seseorang. Akhlak juga merupakan pemisah diantara baik dan buruk, dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Dan sesungguhnya, nilai manusia itu pada hakikatnya terletak pada akhlak dirinya, bukan rupa mahupun darjat. Tiket ke syurga atau neraka hanya dapat dinilai daripada hati manusia oleh Allah SWT, samaada hatinya berakhlak baik atau sebaliknya. Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Terlalu banyak kisah nyata dan benar daripada Al-Quran mahupun kejadian yang berlaku di sekitar dunia kini yang berkait rapat dengan akhlak yang dapat kita jadikan teladan dan pengajaran.
Wallahua'lam.
Comments