Pengalaman Menuntut di USAS

 Persoalan pertama yang ditanya oleh kenalan ketika daku nak sambung belajar adalah, kenapa USAS?


Sejujurnya, USAS atau nama betulnya Universiti Sultan Azlan Shah bukanlah pilihan utama. Pendek kata, mulanya aku memilih USAS adalah dengan alasan nak belajar di negeri yang agak jauh dari negeriku.  Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan. Aku mendapat tawaran Diploma Usuluddin, tempoh belajar adalah  selama 2 tahun. Sebelum masuk USAS, sejujurnya aku memang tak banyak sangat buat research tentang persekitarannya, main masuk je haha.


pandangan dari pintu gerbang utama USAS


Dan pejam celik, Alhamdulillah kini aku sudah bergelar alumni USAS. Dan aku sangat besyukur direzekikan untuk belajar disini! Universiti Sultan Azlan Shah dengan motonya 'Rahmatan Lil Alamin' merupakan universiti dibawah kerajaan Perak. Dan penulisan admin kalini adalah nak share serba sedikit mengenai persekitaran dan kelebihan USAS, mudahan bermanfaat buat bakal mahasiswa/wi USAS !


1) Kemudahan fasiliti

kawasan USAS tak terlalu besar seperti kebanyakan IPTA, jadi memang korang takkan sesat dalam USAS. Di bangunan pentadbiran, terletak bilih kuliah, pejabat, bilik pensyarah, mini auditorium dan makmal. Setiap bilik kuliah mempunyai kemudahan seperti alat projector dan aircond. Bangunan pentadbiran ni ada 3 tingkat saja, kalau malas nak naik tangga, naiklah lift. Tapi pastikan dahulukan lecturer dan kakitangan USAS dulu, jangan sama berebut nak naik juga ye ๐Ÿ˜‰ Bilik kuliah pula bukan hanya untuk waktu kuliah sahaja, tetapi study group, program kecil atau mesyuarat. Tapi pastikan bilik tersebut memang kosong baru nak guna ye.


bilik kuliah
makmal bahasa

makmal kemahiran/bilik kuliah

mini auditorium



Fasiliti yang lain pula adalah auditorium, dewan, perpustakaan, masjid, hostel, padang dan kafe. Auditorium kebiasaanya digunakan untuk kuliah mahupun program, ia boleh memuatkan lebih 200 orang pelajar. Untuk dewan pula biasanya digunakan untuk program yang besar dan rasmi seperti Hari Pendaftaran Kelab dan Persatuan, majlis yang melibatkan ramai VIP dan seumpamanya. Dekat dewan ni lah tempat korang untuk daftar kemasukan pelajar baru nanti. Oh ye! Atas dewan USAS ni kita ada gymnasium tau, terbuka untuk semua warga USAS. Jangan segan nak singgah, sebab kita ada jadual harian yang asingkan lelaki dan perempuan!

Masjid Raja Permaisuri Bainun pula bukan hanya dibuka buat warga USAS, tetapi juga penduduk setempat. Jadi jangan terkejut pula waktu solat nanti jumpa ramai orang luar USAS ye ๐Ÿ˜„ Masjid ni pun menempatkan pelajar-pelajar KAFA yang terdiri daripada pelajar darjah. Next, Perpustakaan Raja Ashman Shah ni memang tempat favourite admin. Selain banyak bahan rujukan, perpustakaan ni juga menyediakan perkhidmatan komputer, bilik perbincangan berkumpulan, sudut thesis dan port private untuk belajar berseorangan.

dewan

auditorium

Masjid Raja Permaisuri Bainun

Perpustakaan Raja Ashman Shah

kafeteria


Kafeteria USAS pula terletak betul-betul dibawah dewan dan bertentangan dengan padang dan dewan penginapan mahasiswi (dalam). Kafeteria ni banyak juga pilihan makanan dan harga agak berpatutan untuk student. Kebiasaanya student turun kafeteria bukan untuk makan je, tapi untuk study group sebab kawasannya lebih santai berbanding di bilik kuliah. Di kafe juga ada perkhidmatan PC dan photostat, itupun antara sebab kenapa student suka lepak kafeteria. Tapi aku lagi prefer study di perpustakaan, lagi sunyi hehe. 

Seterusnya kita story tentang Dewan Penginapan Mahasiswa/wi (DPM) atau mudahnya hostel. Di USAS ni, terdapat 3 jenis hostel. Pertama, DPM Dalam untuk mahasiswa yakni yang terletak bertentangan dengan dewan dan bangunan pentadbiran. Konsepnya setiap aras terdapat sekitar 20 lebih bilik dimana satu bilik menempatkan 4 orang pelajar. Dalam setiap bilik disediakan katil dan tilam, almari, meja dan kerusi serta ampaian. Ada juga disediakan kawasan ampaian di aras bawah. Seterusnya ada tandas, bilik mandi, stor dan bilik mencuci pakaian. Yang best DPM Dalam ni, tak sampai 5 minit pun korang dah boleh sampai kelas, perpustakaan dsb. Cuma bangunannya agak lama berbandig DPM yang lain. Kali terakhir admin duduk di DPM, pihak USAS dah renovate toilet dan bilik mandi jadi lagi cantik dan baru. Mungkin zaman korang, bilik pun cat baru ke kan hehe.

pandangan daripada pintu belakang bilik


Yang kedua, kita ada DPM MAIPK untuk mahasiswi yang terletak di luar kawasan USAS. Kalau nak jalan kaki dari DPM MAIPK USAS, dalam 5-7 minit sahaja. Konsep DPM MAIPK ni macam apartment, setiap rumah terdapat 3 bilik dan menempatkan sekitar 7-8 orang. Bangunan masih baru lagi, dirasmikan sekitar 2018/2019 tak silap admin. Kemudahan yang tersedia sama sahaja dengan DPM Dalam, cuma yang bestnya sebab duduk ramai-ramai. Then kelebihan penginap DPM Maipk ni sebab ada lift dan dapat pemandangan lagi cantik kalau duduk tingkat yang lagi tinggi. Paling favourite, berhadapan dengan kafe yang memang banyak pilihan dan harga murah! 


bangunan DPM Maipk 


Akhir sekali, untuk mahasiswa kita ada DPM Unisquare. Bangunan ni baru lagi, dalam tahun 2019/2020 dan admin pun tak berapa tahu-menahu sangat sebab tak sempat nak lalu dah PDPR pula. Yang admin tahu, aras bawah ada macam-macam kedai, dan kawasan Unisquare ni juga terletak bilik kuliah. Paling best sebab semua masih baru dan cantik. Unisquare ni bersebelahan dengan bangunan DPM Maipk dan jarak berjalan kaki dari sini ke USAS lebih kurang 7-10 minit.

kawasan Unisquare


Last sekali, fasiliti yang paling favourite untuk warga USAS adalah kemudahan Wifi yang percuma. Korang duduk DPM, bilik kuliah, dewan, kafeteria, perpustakaan or masjid ke, ada je wifi ni. Jadi memang sangat memudahkan. Tapi terkadang kalau wifi slow tuh, faham-faham jela sebab ramai sangat yang pakai kan hehe. Selain itu, ada kemudahan mesin ATM Bank Islam yang terletak di lobi bangunan pentadbiran dan ATM Bank Rakyat di pintu gerbang utama USAS. Seterusnya kemudahan asas yang lain adalah mesin penapis air, bilik gerakan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang juga merangkap sebagai pusat pengambilan parcel, bas dan van USAS, pondok telefon awam, gelanggang dan klinik. Nak gambaran penuh persekitaran USAS, korang boleh klik sini.


2) Fakulti dan Program Pengajian

di USAS hanya terdapat dua fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam (FPI) dan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat (FPTM). 

Antara program prasiswazah yang terdapat bawah FPI adalah :
  • Diploma Kaunseling Islami
  • Diploma Bahasa Arab dengan Pendidikan
  • Diploma Komunikasi Islam
  • Diploma Pengajian Islam
  • Diploma Tahfiz Al-Quran Wa Al Qiraat
  • Diploma Usuluddin
  • Diploma Syariah Islamiyyah
  • Diploma Bahasa & Kesusasteraan Arab
  • Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam
  • Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadis)
  • Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan
  • Ijazah Sarjana Muda Kaunseling (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kepujian)

Dan antara program prasiswazah dibawah FPTM pula adalah : 
  • Diploma Pengurusan Muamalat
  • Diploma Kewangan Islam
  • Diploma Multimedia Dengan Dakwah
  • Diploma Pentadbiran Perniagaan
  • Diploma Perakaunan
  • Diploma Teknologi Maklumat
  • Iljazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran
  • ljazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Keusahawanan
  • Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Industri Pertanian ( Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian)

Untuk yang nak maklumat lebih lanjut tentang program pascasiswazah, senarai subjek, yuran dan sebagainya boleh terus layari laman web Portal Utama USAS ye !



3) Kod Pemakaian


Peraturan Umum :
  • Mempamerkan kad matrik pelajar
  • Tidak dibenarkan memakai seluar jeans
  • Tidak memakai pakaian atau perhiasan yang melambangkan organisasi luar.
  • Pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian yang menyerupai lelaki, dan pelajar lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menyerupai perempuan.
  • Tidak dibenarkan memakai pakaian yang mempamerkan sebarang tulisan, simbol atau gambar yang bertentangan dengan syariat Islam.
  • Diwajibkan memakai kasut bertutup terutamanya ketika aktiviti rasmi universiti, bilik kuliah dan dewan peperiksaan.
  • Pelajar non-muslim digalakan untuk memakai pakaian yang sopan dan sederhana.
Peraturan bagi Lelaki :
  • Menutup aurat dan sopan.
  • Tidak dibenarkan memakai sebarang jenis T-shirt bagi aktiviti rasmi universiti atau yang lain, selain dibenarkan secara jelas oleh orang yang berkuasa.
  • Rambut tidak melebihi kolar dan berfesyen luar dari kebiasaan.
  • Hanya songkok Hitam atau Biru Pekat (yang tidak berserban) sahaja yang dibenarkan dalam aktiviti rasmi universiti, menghadiri kuliah dan program-program rasmi.
  • Tidak dibenarkan memakai perhiasan seperti gelang atau rantai kecuali tujuan keagamaan atau perubatan.
Peraturan bagi Perempuan :
  • Menutup aurat (bagi yang beragama Islam) dan sopan.
  • Tidak dibenarkan berlebihan dalam memakai wangian, perhiasan dan solekan.
  • Dibenarkan memakai kasut bertumit 1 inci atau 1 setengah inci serta berstokin.
  • Pakaian mestilah tidak terlalu menonjol, jarang dan ketat.
  • Pemakaian tudung mestilah menutup dengan sempurna, tidak mendedahkan rambut, leher, telinga, bahu dan dada.
  • Pemakaian purdah atau niqab dibenarkan. Akan tetapi diwajibkan memberi kerjasama untuk pengecaman ID oleh pegawai bertugas ketika aktiviti rasmi universiti atau di dewan peperiksaan.

4) Kelab dan Persatuan di USAS

Di sini, pelajar diwajibkan memilih untuk menyertai satu persatuan dan sekurangnya sebuah kelab. Untuk persatuan, diwajibkan untuk memilih mengenai program pengajian kita. Antara persatuan yang ada setakat ini adalah  :

  • Persatuan Kewangan Islam (IFISS) - program Kewangan Islam, Pengurusan Muamalat dan Perbankan & Kewangan Islam.
  • Persatuan Bahasa Arab (BAHAR) - program Bahasa Arab dan Bahasa Arab & Pendidikan
  • Persatuan Usuluddin, Kaunseling, Komunikasi dan Tahfiz (UCCTS) - program Usuluddin, Usuluddin Hadith, Kaunseling Islami, Komunikasi Islami, Tahfiz Al-Quran wal Qiraat dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak 
  • Persatuan Sains Teknologi, Multimedia dan Landskap (STEM) - program Sains Komputer, Multimedia Kreatif, Senibina Landskap, Industri Pertanian, Multimeda dengan Dakwah dan Teknologi Maklumat.
  • Persatuan Syariah (PERSYA) - program Syariah Islamiyyah dan Syariah Gunaan.
  • Persatuan Pengajian Islam (PERPIS) - program Pengajian Islam.
  • Persatuan Perakaunan (UACS) - program Perakaunan. 
  • Persatuan Pentadbiran Perniagaan (BASS) - program Pentadbiran Perniagaan dan Pentadbiran Perniagaan (pemasaran/keusahawanan)
Dan ini pula senarai kelab yang wujud setakat 2021 ini :
  • Kelab Penyayang 
  • Kelab Tabung Haji USAS (TAHA)
  • Kelab Rakan Siswa Yadim USAS (RSY USAS)
  • Kelab Gerakan Penguna Siswa USAS (GPS USAS)
  • Kelab Pengerak Warisan dan Sastera Siswa USAS (Pewaris USAS)
  • Kelab Kembara Alam (KEBAL)
  • Kelab Debat
  • Kelab Furqan
  • Kelab Steadfast
  • Kelab Pembimbing Rakan Siswa USAS (PRS USAS)
  • Kelab Pencak Silat (KPS USAS)
  • Kelab Seni Silat Cekak Malaysia (KSSCM USAS)
  • Kelab Sukan Mahasiswa (KSM USAS)
  • Kelab Bola Jaring USAS
  • Kelab Badminton USAS
  • Skuad Sukarelawan USAS (SSU)
  • Rakan Masjid USAS
  • Dan banyak lagi....
Selain daripada kelab dan persatuan, kita juga ada persatuan mengikut negeri yang digerakan dibawah Pertubuhan Induk Persatuan Anak-anak Negeri USAS (USSC) yang dikelolakan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa USAS (MPM). Jadi mudah bagi setiap siswa untuk dapatkan bantuan dan kerjasama sesama anak negeri. Untuk ketahui misi dan objektif setiap kelab, korang boleh layari instagram atau facebook diorang atau tunggu Promosi Hari Pendaftaran Kelab & Persatuan setiap awal semester. Ni aku selitkan sikit suasana promosi kelab persatuan sebelum PKP :-






5) Persekitaran dan Kemudahan Luar USAS

Baik, bila dah kenal suasana dalam USAS, kenalah juga kita ketahui bagaimana persekitaran luar supaya lebih mudah untuk kita kelak. Untuk pelajar yang tidak mahu duduk DPM, boleh saja menyewa atau duduk rumah sendiri, janji yang memudahkan untuk ke kelas. Untuk cari rumah sewa, boleh saja korang cari melalui senior atau group whatsapp, atau ronda sendiri taman perumahan yang terletak dihadapan USAS atau sekitar Chandan. Biasanya ramai pelajar yang memilih duduk di rumah berbanding DPM kerana lebih privasi dan bebas.

Untuk kemudahan seperti dobi, kedai makan, kedai runcit dan kedai buku ada saja di persekitaran Chandan dan hanya ambil masa 3-5 minit berjalan kaki. Kalau nak lagi banyak pilihan macam Kedai Eco RM2.10, Mr.DIY, KFC, Watson, hospital atau klinik, kolam renang, perhentian bas, pasar tani atau pasar malam, korang boleh ke pekan yang ambil masa dalam 5-7 minit jika naik kenderaan. Kalau nak melepak, boleh try pergi Arena Kuala Kangsar, santai je dan banyak pilihan makanan yang best dan sedap ! Kalau ada duit lebih, pergilah jalan-jalan ke Ipoh atau Taiping ๐Ÿ˜† Kalau nak naik train, ada di Padang Rengas yang terletak sekitar 10-20 minit dari USAS kalau naik kenderaan.

Untuk port makan pula, memang banyak sangat pilihan ada. Korang nak masakan Thai, Melayu, Mamak, Western atau Arab, semua ada! Ada juga beberapa kedai yang buat COD sampai ke asrama USAS. Dan kebiasaannya setiap semester akan ada persatuan USAS yang mengadakan jualan di USAS, ada macam-macam jualan yang murah terutamanya makanan lah. Kalau korang nak cari duit lebih, bolehlah menjual di USAS atau buat part-time di sekitar USAS.

.....

Pendek kata, setiap tempat pengajian ada kelebihan dan kekurangan mereka. Jadi sebagai penuntut, kita kenalah bijak dalam memilih tempat pengajian. Jangan hanya fokus pada 'nama' sesebuah tempat atau bidang yang mahu diambil, selidik juga persekitaran luar dan dalam, subjek, yuran dan tempoh masa yang ditawarkan serta kelebihan dan kekurangan jika menuntut disitu. Buat mereka yang membaca, terima kasih dan semoga berjaya dan dipermudahkan urusan buat kalian, aamiinn!


InshaAllah, kalau berminat nak tahu tentang Diploma Usuluddin di USAS, boleh klik sini. Wallahu'alam..


Antara sumber utama yang admin rujuk  :

Laman Web Utama Universiti Sultan Azlan Shah - http://www.usas.edu.my/
Instagram Majlis Perwakilan Mahasiswa USAS - https://instagram.com/mpmusas?utm_medium=copy_link





Comments

Popular posts from this blog

Diploma Usuluddin di USAS

Akhlak Menurut Syariat Islam